DANA SYIAR ISLAM

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA
PENYELIA PAS DUN TELOK MAS

24 Jun 2013

Kembalikan istilah “Bahasa Melayu”

( PETIKAN HARAKAHDAILY)http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20283-kembalikan-istilah-bahasa-melayu
Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong,
25 Jun 2013
Istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Itulah antara persoalan yang membelenggu masyarakat  kita pada hari ini. Yang mana dua istilah ini perlu diguna pakai, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia dan istilah manakah yang lebih betul penggunaannya. Jika kita teliti dalam perlembagaan negara, bahasa rasmi yang iktiraf dan termaktub di dalam perlembagaan negara adalah Bahasa Melayu.

Namun, tiada pula istilah Bahasa Malaysia disertakan dalam perlembagaan negara. Mengapa istilah Bahasa Malaysia wujud dan mengapa pula istilah Bahasa Melayu perlu ditukar kepada istilah Bahasa Malaysia. Umum mengetahui bahawa  pada awal Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan telah mengumumkan bahawa bahasa Melayu dirujuk kepada Bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri dan keesokan harinya perkara tersebut disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri. Alasan penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini adalah untuk tujuan perpaduan kaum dan juga integrasi nasional. Terjejas atau tidak Bahasa Melayu jika penukaran istilah bahasa ini dilakukan? Penulis berpendapat penukaran istilah ini boleh membawa satu bencana yang besar kepada Bahasa Melayu.  Walaupun kita tidak merasai kesan daripada tindakan kita hari ini, namun percayalah generasi akan datang merasai kesan tersebut.

Profesor Teo Kok Seong, profesor Sosiolinguistik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan bahawa penukaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia atas tujuan perpaduan dan integrasi nasional dengan matlamat murni hanya segi zahirnya sahaja, tetapi pada hakikatnya boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya orang Melayu yang empunya bahasa terbabit.

Penulis amat bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh sarjana berkenaan. Mungkin kita melihat penukaran istilah daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana hanya sebaris kata dan istilah, dan mana mungkin boleh membawa akibat negatif terhadap Bahasa Melayu dan jauh sekali bangsa yang empunya bahasa terbabit. Hal ini disebabkan, anggapan sebilangan besar masyarakat kita yang suka mengambil mudah, acuh tidak acuh serta tidak mengambil penting tentang perihal dunia kebahasaan menyebabkan Bahasa Melayu rela dirobek-robek dan ditukar-tukar istilahnya tanpa rasa bersalah oleh pihak tertentu.

Walaupun kita bukan dalam kalangan ahli dunia kebahasaan, jauh sekali bergelar aktivis bahasa, itu tidak penting, yang penting adalah sikap kita sebagai pengguna dan penutur Bahasa Melayu yang perlu ada rasa kesedaran, kasih serta sayang terhadap Bahasa Melayu. Oleh itu, sikap sensitif terhadap Bahasa Melayu seharusnya tinggi walaupun kita seorang ahli perniagaan, juruterbang, doktor, peguam yang kiranya fasih berbahasa Inggeris dan menggunakannya untuk urusan sehari-harian.

Ditambahkan lagi, sekiranya penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini disebabkan ingin mengukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia, penulis beranggapan ia bukanlah tata cara yang praktikal untuk dilakukan iaitu dengan mengubah istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Umum mengetahui, negara telah pun mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, namun isu perpaduan kaum ini masih lagi hebat diperdebatkan oleh pelbagai pihak terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Negara juga turut dikejutkan dengan tsunami politik yang menyebabkan suasana politik negara tidak begitu stabil terutama negeri-negeri  yang menerima peralihan kuasa daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung  hubungan kaum di Malaysia mulai menerima bibit-bibit keretakan, disebabkan beberapa isu berbangkit.

Ironinya isu perpaduan ini bukan satu isu yang mudah untuk diselesaikan kerana ia memerlukan tolak ansur semua pihak dalam menyelaraskan beberapa isu mahupun tuntutan. Malah, mana-mana negara sekali pun, isu perpaduan pelbagai ras dan kesukuan ini adalah satu isu yang masih lagi belum mencapai kata putus yang mutlak, walaupun negara berkenan sudah mencapai taraf negara maju. Soal perpaduan ini bukanlah satu soal yang mudah untuk ditangani, seperti penulis katakan sebentar tadi bahawa tolak ansur antara semua pihak amat diperlukan dalam merealisasikan perpaduan di Malaysia.

Jika kita betul bersungguh-sungguh ingin melaksanakan perpaduan di Malaysia, persoalannya mengapakah Bahasa Melayu perlu diusik dan ditukar-tukar namanya? Istilah Bahasa Melayu sudah cukup meluas penggunaannya bermula dari  peringkat rendah hingga peringkat tertinggi. Jika ingin mengukuhkan perpaduan  di Malaysia, adalah lebih molek jika kita menggunakan  elemen lain tanpa mengganggu gugat Bahasa Melayu yang cukup terbudaya dalam masyarakat ketika ini.

Pelaksanaan sekolah wawasan, pembinaan bangsa Malaysia, serta slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak antara program yang berteraskan perpaduan yang perlu diperkukuhkan peranan serta fungsinya, tanpa Bahasa Melayu perlu diusik atau diganggu gugat istilahnya daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia dan seumpamanya dengannya.

Menurut Profesor Teo kok Seong, dalam bahasa diyakini Bahasa Melayu turut terkandung dan terangkum artifak, institusi dan organisasi, sikap, falsafah, pemikiran dan emosi, budaya,  sejarah, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun menurun lamanya. Malah,  menurut pendapat Profesor Nor Hisham Osman, pensyarah linguistik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Malaysia sewajarnya menggunakan pendekatan negara-negara lain seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand  yang menggunakan istilah standard iaitu Bahasa Inggeris dan bukannya menggunakan istilah negara-negara berkenaan untuk merujuk kepada Bahasa Inggeris.

Jika kita lihat dari sudut sejarah perkembangan Bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu bukan hanya setakat dituturkan di sekitar wilayah politik Malaysia sahaja malah turut dituturkan oleh sebilangan besar masyarakat lingkungan rantau kepulauan Melayu yang merangkumi, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand. Penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bukanlah satu penyelesaian yang holistik dalam mengukuhkan perpaduan di Malaysia. Istilah Bahasa Malaysia diwujudkan pada hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan mana-mana suku kaum di Malaysia, namun kita perlu berpijak di bumi yang nyata dan realitinya hasrat tersebut tidak akan tercapai walaupun bangsa Melayu sanggup menggugurkan nama bangsanya  pada istilah Bahasa Melayu.

Menurut Kamal Abdullah Sani, semua warga Malaysia tidak seharusnya curiga pada penggunaan istilah Bahasa Melayu. Hal ini kerana rasa curiga  itu mungkin menimbulkan pelbagai  kesan yang negatif. Malah, kita sebagai warga negara Malaysia yang mengaku warga setia di bumi tercinta ini perlu merasa bangga dengan bahasa kebangsaan kita walaupun kita berlainan kaum, suku, mahupun  keturunan.  Abang Patdeli Abang Muhi melalui makalahnya “Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia”, Pelita Bahasa 1995 telah melontar beberapa persoalan tentang kewajaran penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Adakah dengan penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia menjadikan masyarakat lebih prihatin terhadap Bahasa Melayu dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bahasa teknologi yang terpenting di negara ini? Untuk membincangkan Bahasa Melayu dari segi keupayaan sebagai bahasa ilmu, ia memerlukan satu perbincangan yang cukup panjang dan melibat pelbagai aspek. Hal ini kerana pada hari ini secara dasarnya Bahasa Melayu menerima hambatan yang begitu hebat daripada pelbagai sudut terutama dari sudut cabaran Bahasa Inggeris dan dunia globalisasi tanpa sempadan.

Mungkin dalam benak fikiran kita timbul satu persoalan, mengapa Indonesia menggunakan istilah bahasa Indonesia sedangkan rakyat Indonesia juga turut  bertutur  di dalam Bahasa Melayu serupa dengan rakyat Malaysia? Menurut Profesor Teo, kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia berbeza daripada Indonesia. Hal ini kerana bahasa rasmi negara jiran tersebut diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding suku Jawa yang mendominasi wilayah Indonesia dan tidak timbul soal bantahan kerana ia suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa tersebut. Dr Nor Hisham menambah, bahawa bahasa mewakili bangsa, dan situasi Bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka sudah berjaya mengwujudkan bangsa Indonesia. Bahasa Indonesia tambah beliau lagi tidak sama dengan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu wilayah di negara jiran itu. Manakala, di Malaysia bahasa Melayu merujuk kepada bahasa bangsa Melayu.

Oleh hal yang demikian, sudah  sampai masanya kita warga Malaysia yang tidak kira ras mahupun keturunan perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan tanpa menukarkan namanya. Oleh itu, kita jangan lagi ragu-ragu untuk menyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Hal ini disebabkan Bahasa Melayu telah termaktub dalam perlembagaan dan telah diterima oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa rasmi negara kita.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.

5 Jun 2013

Takziah buat keluarga pendaki Gunung Everest

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19784-takziah-buat-keluarga-pendaki-gunung-everest

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, pendaki Gunung Everest yang telah menghembuskan nafas terakhir ketika cuba mendaki gunung tersebut bersama pasukannya.

Seorang lagi ahli pasukan tersebut dikatakan sedang kritikal dan kedua-duanya mengalami penyakit akut ketinggian (acute mountain sickness) dalam usaha mereka menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.

“Kemungkinan faktor cuaca menjadi halangan terbesar mereka mendaki Gunung Everest serta menjadi punca kematian dan penyakit mereka,” ujar Timbalan Ketuanya, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata DPPM mengharapkan agar kerajaan Malaysia dapat berusaha membawa pulang jenazah Mohamad Shahrulnizam serta seorang lagi pendaki yang kritikal dengan segera dan selamat serta mampu menyelamatkan nyawanya.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan itu, tidak ada lagi harapan dan pergantungan melainkan kepada Allah SWT di samping ikhtiar yang termampu bagi membawa balik kedua-duanya.

Selain mereka, ujarnya DPPM juga berharap kesemua anggota pasukan juga akan dihantar pulang sesegera mungkin agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“DPPM menasihatkan pasukan pendaki Malaysia agar menjaga keselamatan dan kesihatan mereka,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurutnya kagi, meskipun mereka cuba mengharumkan nama negara dengan memanjat ‘bumbung dunia’ itu, namun aspek keselamatan dan kesihatan perlu diambil kira.

“Di atas segala-galanya, kesihatan dan keselamatan perlu menjadi keutamaan. Di belakang mereka, sanak saudara tercinta serta rakyat Malaysia menanti dengan penuh sabar agar mereka semuanya sihat,” katanya.

Justeru, ujar beliau rakyat Malaysia sentiasa berdoa semoga mereka sentiasa selamat.

“Buat kesemua anggota pasukan, misi anda telah berjaya kerana mampu sampai ke tahap itu serta mengharumkan nama negara kerana berjaya melahirkan pendaki-pendaki yang cekal mendaki puncak dunia,” katanya lagi.



Khairy diminta fokus bukan kacau persatuan sukan !

Harakahdaily,05 Jun 2013
IPOH: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengharapkan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Khairy Jamaluddin agar memberikan fokus utama Kementerian Belia dan Sukan dan peranan beliau sebagai Menteri yang bukannya mencampuri tugas dan peranan semua persatuan sukan kerana ianya jelas bertentangan dengan tanggungjawab Menteri dan Kementerian.

"Kami berharap Khairy (gambar)dan pasukannya di dalam Kementerian agar memberikan fokus pembangunan sukan dan mencari fomula bagaimana Kementerian mampu mencorakkan sukan dan memertabatkan pembangunan sukan lebih tinggi lagi.

"Khairy harus mengenepikan 'politik' FAM yang pernah diterajuinya dahulu kerana peranan dan tanggungjawab beliau lebih besar daripada itu dan amat penting sekali.

"Kami berharap Khairy tidak sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan kepada beliau dan besarlah harapan kami agar pembangunan sukan seiring dengan pasarana sukan yang telah dimilik oleh Negara kita!" kata naib ketua Pemuda PAS, Raja Iskandar Al Hiss dalam kenyataannya.

Bagi beliau, isu berkaitan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang ditegur oleh Khairy adalah tidak wajar kerana teguran tersebut hanya berkisar masalah teknikal dan bukanya berkaitan dasar sukan atau berkaitan FAM itu sendiri.

"Kami bersetuju jika Khairy memberikan teguran dan pandangannya berkaitan tindakan FAM melangggari perkara dasar berkaitan sukan bolasepak dan bukannya seolah-oleh teguran dan pandangan yang mempunyai sentimen peribadi semata-mata," katanya.

Ramai sedari bahawa Khairy pernah menjadi Timbalan Presiden FAM dahulu dan memungkinkan teguran dan pandangan beliau mempunyai sentimen peribadi dahulu di FAM. 

3 Jun 2013

Gambar perkahwinan yang tidak suka dilihat

Harakahdaily,03 Jun 2013


(Bekas ahli Majlis Syura PAS, Nasharudin Mat 

Isa antara tetamu majlis resepsi Saiful Bukhari)

KUALA LUMPUR: Sekarang musim orang kahwin. Yang suka dilihat adalah gambar Ustaz Azhar Idrus berkahwin tiga. Namun ada satu perkahwinan yang tidak berapa suka dilihat khasnya oleh ahli PAS.

Ia adalah perkahwinan Saiful Bukhari dengan pasangannya Nik Suryani Megat Deraman di Dewan Dataran Karyawan Kompleks Belia Sukan Seksyen 7 di sini malam tadi.

Yang tak suka dilihat adalah tokoh-tokoh yang turut serta di majlis resepsi itu selepas majlis akad nikah di Kuala Terengganu.

(Blogger terkenal Papagomo turut meraikan Saiful)

Dengan bertemakan Garden Wedding, kira-kira 800 pengunjung yang hadir pada majlis tersebut turut dihiburkan dengan alunan music jazz yang dibawa oleh Jimmy and Fans semasa majlis itu sedang berlangsung.

Menurut blog KLpos, antara tetamu kenamaan yang hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob,  Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Mukriz Mahathir, bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden Perkasa Zulkifli Noordin dan blogger kontroversi Papa Gomo.

Pada 25 Mei lalu, Saiful Bukhari Azlan diijabkabulkan di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI) berwalikan bapa pengantin perempuan sekaligus sah bergelar suami kepada salah seorang personaliti TV3, Nik Suryani.

Dengan jumlah mas kahwin berjumlah RM41,101, majlis diserikan dengan  9 dulang hantaran yang diiringi rombongan pengantin lelaki dan dibalas 11 dulang dari pihak keluarga Nik Suryani.