DANA SYIAR ISLAM

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA
PENYELIA PAS DUN TELOK MAS

28 May 2013


Lampu padam: Wan Ahmad malukan SPR

Harakahdaily,28 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang membuat penafian melulu terhadap dakwaan berlakunya 'lampu padam' di beberapa kawasan ketika pengiraan undi pada 5 Meli lalu, hanya memalukan bukan sahaja diri beliau malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri.

Bagi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, tindakan Timbalan Pengerusi SPR itu hanya menunjukkan sikap angkuh beliau seperti tidak mahu mangakui wujudnya kepincangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya nak ingatkan beliau (Wan Ahmad), jangan cepat sangat buat penafian, selidik lah dahulu dakwaan-dakwaan yang di kemukakan. 

"Jangan ambil sikap mudah anggap semua dakwaan dari rakyat ini sebagai fitnah, sekurang-kurangnya dengar dan selidik lah dahulu sebelum buat kenyataan balas," katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini beberapa pihak memuat naik sekeping gambar di internet mendakwa berlaku insiden lampu padam ketika proses pengiraan undi pada PRU13 lalu.

Tidak berapa lama kemudian, Wan Ahmad tampil dengan kenyataannya bahawa gambar tersebut adalah fitnah.

Malah beliau dengan tegas mendakwa gambar itu hanya lakonan pihak tertentu yang dirakamkan sebelum PRU-13 lagi.

Sehari selepas penafian Wan Ahmad itu, Adun PAS Seri Serdang Noor Hanim Ismail mengadakan sidang media mengatakan sememangnya insiden lampu padam itu berlaku di salah satu pusat mengundi di kawasannya.

Menurut Noor Hanim, kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu di Sekolah Kebangsaan Serdang, dan dirakam oleh ejen penjumlahan undi dari parti tersebut.

Selain beliau, satu lagi bukti laporan polis turut ditampilkan ketua pasukan #SiasatPRU13 Rafizi Ramli dengan mendakwa insiden sama turut berlaku di Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Hari ini pula, Wan Ahmad dengan nada berbeza membayangkan kenyataannya sebelum ini tidak tepat kerana penafian itu dibuat berdasarkan laporan 24 yang diterima selepas hari pengundian.

Katanya, pihak SPR telah menghubungi pegawainya, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dimaklumkan tiada laporan lampu padam diterima.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai berkata, SPR jangan menganggap bahawa PRU13 kali ini paling 'perfect'.

Sebaliknya segala dakwaan kepincangan serta bukti yang ditampilkan oleh rakyat harus didengar dan disiasat dengan baik.

26 May 2013


Kedudukan Muhyiddin kritikal selepas kenyataan Mahathir 

Harakahdaily,27 Mei 2013




KUALA LUMPUR: Jika anda ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, anda pasti tidak dapat bersenyum mulai semalam. Itulah kata-kata sumber Umno kepada Harakahdaily tengah malam semalam.

Sumber Umno menghubungi Harakahdaily ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa Umno-BN akan mengekalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai ketuanya kerana tiada calon lain yang lebih berwibawa.

Mahathir dipetik berkata di satu forum di Jepun semalam dengan nada sebegini:  “Saya berasa parti akan menyokong beliau (Najib) kerana kurang alternatif.”

“Ini memberi tamparan kepada Muhyiddin yang merasakan selama ini beliau adalah 'Prime Minister material' di mata Mahathir. Kini, Muhyiddin bakal terasa bahang kerana nyawa politiknya telah dipotong separuh oleh Mahathir,” kata sumber Umno kepada Harakahdaily.

Sumber Umno yang menelefon dari Jepun berkata beliau juga agak terkejut dengan kenyataan Mahathir.

“Sepatutnya Mahathir apabila melihat Khairy Jamaluddin dalam kabinet akan terus timbul rasa nak cantas Najib. Tapi kenyataan yang merugikan Muhyiddin itu cukup pelik. Secara tidak langsung, ini menghantar mesej kepada keseluruhan Umno bahawa Muhyiddin tidak sesuai jadi timbalan kerana tidak layak mengganti Najib, sekiranya berlaku apa-apa pada Najib,” kata beliau lagi.

Minggu lepas, sumber Umno itu berkata Muhyiddin tiada cara untuk menyelamatkan diri selain mencabar Najib sebagai Presiden Umno dalam pemilihan parti akan datang.

Ini kerana katanya, jika Muhyiddin memilih untuk mempertahankan jawatan, sudah pasti ada orang yang mencabarnya seperti bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan juga Pengerusi Felda Datuk Seri Isa Samad.

“Muhyiddin kini keseorangan di atas. Mahathir pula seolah-olah sudah menikamnya. Seperti yang saya kata, Muhyiddin terpaksa cabar Najib untuk menyelamatkan diri,” kata sumber Umno itu.

Harakahdaily sempat bertanya kepada sumber Umno apakah mungkin Najib dan Muhyiddin bersama-sama mengisytiharkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Boleh kalau mereka boleh puaskan hati semua warlord dan kini saya percaya antara Najib dan Muhyiddin pun tak dapat satukan semua warlord. 

"Najib sudah pasti akan cuba umum jawatan Presiden tidak perlu dipertandingkan, tapi timbalan, susah nak halang orang mencabar Muhyiddin sebab ramai calon yang layak mencabarnya, tidak seperti Najib,” kata beliau sebelum menamatkan perbualan.

23 May 2013

Tidak wajar tangkap, bimbang rakyat marah

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19493-tidak-wajar-tangkap-bimbang-rakyat-marah


Dr Hatta dan Tamrin di Balai Polis Jinjang.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr. Mohd Hatta Ramli mempertikaikan tindakan rakus kerajaan berhubung penangkapan yang dibuat ke atas dua pemimpin Pakatan Rakyat dan seorang aktivis NGO tanpa memikirkan sentimen rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai turut memberitahu sikap keterlaluan menangkap pemimpin dikhuatiri akan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Ia menunjukkan sikap rakus kerajaan berhubung penangkapan yang dibuat terhadap tiga individu yang bagi saya mereka bukannya satu ancaman kepada berlakunya huru hara.

"Apa yang merisaukan saya tindakan tersebut akan menimbulkan satu sentimen dan kemarahan rakyat terhadap kerajaan," ujar beliau kepada Harakahdaily.

Kata Dr Hatta lagi sebagai sebuah negara yang mengamalkan hak kebebasan bersuara, ketiga-tiga yang ditangkap itu merupakan pemimpin yang boleh melontarkan suara mereka kepada rakyat sebagai pandangan.

Beliau yang berharap pihak polis segera membebaskan mereka sebelum menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

"Kita mempunyai undang-undang dan kebebasan untuk menyampaikan pandangan dan dalam beberapa siri himpunan sebelum ini yang dikatakan boleh timbul kacau bilau tetapi ia berlansung dengan aman dan baik

"Sepatutnya ini boleh diambil kira oleh pihak berkuasa untuk menilai bahawa tidak ada suasana kacau bilau sepertimana dihebohkan oleh media milik kerajaan sebelum ini," sambung beliau.

Dr Hatta yang meminta agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pihak polis berfikir dengan waras dan menghentikan segera tangkapan bagi memastikan sesuatu yang tidak diingini berlaku apabila rakyat benar-benar bangkit mencari keadilan.

Dalam pada itu, beliau yang juga tidak menolak bekemungkinan akan berlaku lagi tangkapan susulan selepas ini.

"Saya tidak menolak kemungkinan akan berlaku lebih banyak tangkapan melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan juga NGO-NGO,” ujarnya.

Mereka yang ditahan hari ini ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Pengerusi NGO Asal Bukan Umno (ABU), Haris M Ibrahim dan Datuk Tamrin Ghaffar yang sekarang berada di lokap Balai Polis Jinjang.

Mereka difahamkan ditahan sehingga jam 11 pagi esok bagi mendapatkan lanjutan tempoh reman.