DANA SYIAR ISLAM

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA

YANG DIPERTUA PAS KAWASAN KOTA MELAKA
PENYELIA PAS DUN TELOK MAS

29 Jul 2013

Ketika krisis, asrama Johor di Mesir arah pelajar keluar.


Harakahdaily,29 Jul 2013
JOHOR BAHRU:Dalam keadaan negara Mesir sedang menghadapi kemelut politik akibat rampasan kuasa tentera Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir  (Ilmam) Johor dikejutkan apabila pihak pengurusan asrama pelajar Johor Rabaah, Mesir mengarahkan para pelajar asrama keluar daripada rumah Johor tersebut.

(Surat pekeliling dari Kedutaan Malaysia, Jabatan Pelajar Johor)

Antara alasan asrama pelajar Johor bangunan Waqaf Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) di Mesir diarah untuk dikosongkan adalah disebabkan proses membaik pulih serta penempatan pelajar baharu yang diuar-uarkan akan tiba pada pertengahan September ini.

Demikian kata YDP Ilmam Johor, Mohamad Hairi Hamzah dalam satu kenyataannya hari ini.

Ilmam Johor menggesa pihak pegawai asrama Johor di Mesir termasuk Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengambil tindakan terhadap isu ini.

"Ini kerana Ilmam Johor merasakan bahawa keadaan getir pada waktu ini menjadikan mahasiswa Johor di Mesir menghadapi situasi sukar mencari penginapan dan rumah sewa di dalam keadaan politik Mesir yang tidak menentu ini," katanya.

Ilmam Johor juga membantah alasan yang digunakan untuk menempatkan pelajar baharu yang akan tiba ke Mesir pada bulan September ini sedangkan terdapat banyak lagi ruang kosong yang boleh menempatkan mahasiswa di asrama tersebut.

Gesaan ini dilakukan dengan tegas bagi memastikan keselamatan mahasiswa Johor di Mesir dijaga kerana asrama tersebut terletak hanya 300 meter sahaja jarak daripada kawasan perhimpunan di kawasan Rabaah tempat pertembungan di antara penyokong Dr Mursi dan tentera yang sedang kemuncak berlaku pada waktu ini.

Pihak Pengurusan Asrama Pelajar Johor di Mesir harus memandang perkara ini dengan serius kerana dentuman tembakan dapat didengari daripada jarak dekat serta mahasiswa perlu berada di dalam kawasan asrama dan menyulitkan urusan mahasiswa terpaksa keluar mencari rumah baharu di dalam kawasan sekitar.

Ilmam berpandangan mahasiswa tidak boleh diarahkan keluar sehingga pertelingkahan politik Mesir ini berakhir.

15 Jul 2013

Kenyataan menteri tidak selesai isu harga ayam

Salmah Mat Husain,15 Jul 2013
KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hasan Malek yang mengajak orang ramai 'menukar' selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Kelantan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri tersebut tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar)berkata kenyataan ini tidak berbeza dengan kenyataan  kerajaan sebelum ini yang mengajak rakyat mengurangkan pengambilan gula apabila berlaku kenaikan harga bahan itu.

“Begitu juga dengan kenyataan yang memohon rakyat menjimatkan penggunaan eletrik apabila berlaku kenaikan tarif eletrik juga.

“Jika hanya itu yang mampu dilakukan oleh kerajaan, DPPNK menyifatkan ia sebagai satu pandangan yang naif dan langsung tidak sesuai dikeluarkan oleh sebuah kerajaan yang sepatutnya mempunyai kuasa mempengaruhi harga barangan keperluan,” ujarnya.

Tegasnya, kerajaan seharusnya mengkaji serta memberikan maklumat yang jelas kepada rakyat faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam pada hari ini yang sudah melampaui menjelang musim perayaan.

Sambungnya yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar, rakyat perlu diberikan maklumat sebenar adakah kenaikan harga ayam ini disebabkan oleh kenaikkan kos seperti produk makanan ayam, pekerja, penghantaran, pemasaran dan sebagainya.

Katanya, menggesa rakyat untuk tidak mengelakkan pengambilan ayam sebagai makanan dan sepenuhnya menyalahkan kepada peniaga menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak serius di dalam menangani isu ini.

DPPNK turut mempersoalkan kenapa kerajaan mengambil sikap untuk menetapkan pelaksanaan skim kawalan harga Hari Raya Puasa 2013 pada awal Ogos 2013 nanti iaitu penghujung Ramadhan dan bukannya pada awal Ramadhan.

Sehubungan itu DPPNK menggesa kerajaan untuk sentiasa prihatin terhadap fenomena itu  menjelang musim perayaan.

Katanya, unjuran keperluan perlu sentiasa dilakukan dari masa ke semasa bagi membolehkan kenaikan harga ayam secara mendadak dapat dikekang.

Dalam hal itu pemuda yakin kerajaan sebenarnya tidak bersedia menghadapi fenomena dan menanggap ia sebagai satu situasi yang tidak serius setelah BN berjaya membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihanraya umum ketiga belas yang lepas.

Katanya lagi, kerajaan barangkali lupa bahawa pengundi-pengundi di Kuala Besut masih mempunyai peluang untuk memberikan 'tunjuk ajar' kepada kerajaan agar lebih berhemah di dalam menguruskan keperluan asas.

24 Jun 2013

Kembalikan istilah “Bahasa Melayu”

( PETIKAN HARAKAHDAILY)http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/20283-kembalikan-istilah-bahasa-melayu
Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong,
25 Jun 2013
Istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia. Itulah antara persoalan yang membelenggu masyarakat  kita pada hari ini. Yang mana dua istilah ini perlu diguna pakai, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia dan istilah manakah yang lebih betul penggunaannya. Jika kita teliti dalam perlembagaan negara, bahasa rasmi yang iktiraf dan termaktub di dalam perlembagaan negara adalah Bahasa Melayu.

Namun, tiada pula istilah Bahasa Malaysia disertakan dalam perlembagaan negara. Mengapa istilah Bahasa Malaysia wujud dan mengapa pula istilah Bahasa Melayu perlu ditukar kepada istilah Bahasa Malaysia. Umum mengetahui bahawa  pada awal Jun 2007, Datuk Zainuddin Maidin yang ketika itu Menteri Penerangan telah mengumumkan bahawa bahasa Melayu dirujuk kepada Bahasa Malaysia atas arahan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri dan keesokan harinya perkara tersebut disahkan oleh Datuk Seri Najib Razak Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri. Alasan penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini adalah untuk tujuan perpaduan kaum dan juga integrasi nasional. Terjejas atau tidak Bahasa Melayu jika penukaran istilah bahasa ini dilakukan? Penulis berpendapat penukaran istilah ini boleh membawa satu bencana yang besar kepada Bahasa Melayu.  Walaupun kita tidak merasai kesan daripada tindakan kita hari ini, namun percayalah generasi akan datang merasai kesan tersebut.

Profesor Teo Kok Seong, profesor Sosiolinguistik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan bahawa penukaran Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia atas tujuan perpaduan dan integrasi nasional dengan matlamat murni hanya segi zahirnya sahaja, tetapi pada hakikatnya boleh merosakkan dalam banyak hal khususnya orang Melayu yang empunya bahasa terbabit.

Penulis amat bersetuju dengan pendapat yang dikemukakan oleh sarjana berkenaan. Mungkin kita melihat penukaran istilah daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini tidak mendatangkan apa-apa masalah kerana hanya sebaris kata dan istilah, dan mana mungkin boleh membawa akibat negatif terhadap Bahasa Melayu dan jauh sekali bangsa yang empunya bahasa terbabit. Hal ini disebabkan, anggapan sebilangan besar masyarakat kita yang suka mengambil mudah, acuh tidak acuh serta tidak mengambil penting tentang perihal dunia kebahasaan menyebabkan Bahasa Melayu rela dirobek-robek dan ditukar-tukar istilahnya tanpa rasa bersalah oleh pihak tertentu.

Walaupun kita bukan dalam kalangan ahli dunia kebahasaan, jauh sekali bergelar aktivis bahasa, itu tidak penting, yang penting adalah sikap kita sebagai pengguna dan penutur Bahasa Melayu yang perlu ada rasa kesedaran, kasih serta sayang terhadap Bahasa Melayu. Oleh itu, sikap sensitif terhadap Bahasa Melayu seharusnya tinggi walaupun kita seorang ahli perniagaan, juruterbang, doktor, peguam yang kiranya fasih berbahasa Inggeris dan menggunakannya untuk urusan sehari-harian.

Ditambahkan lagi, sekiranya penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia ini disebabkan ingin mengukuhkan perpaduan antara kaum di Malaysia, penulis beranggapan ia bukanlah tata cara yang praktikal untuk dilakukan iaitu dengan mengubah istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Umum mengetahui, negara telah pun mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun, namun isu perpaduan kaum ini masih lagi hebat diperdebatkan oleh pelbagai pihak terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Negara juga turut dikejutkan dengan tsunami politik yang menyebabkan suasana politik negara tidak begitu stabil terutama negeri-negeri  yang menerima peralihan kuasa daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung  hubungan kaum di Malaysia mulai menerima bibit-bibit keretakan, disebabkan beberapa isu berbangkit.

Ironinya isu perpaduan ini bukan satu isu yang mudah untuk diselesaikan kerana ia memerlukan tolak ansur semua pihak dalam menyelaraskan beberapa isu mahupun tuntutan. Malah, mana-mana negara sekali pun, isu perpaduan pelbagai ras dan kesukuan ini adalah satu isu yang masih lagi belum mencapai kata putus yang mutlak, walaupun negara berkenan sudah mencapai taraf negara maju. Soal perpaduan ini bukanlah satu soal yang mudah untuk ditangani, seperti penulis katakan sebentar tadi bahawa tolak ansur antara semua pihak amat diperlukan dalam merealisasikan perpaduan di Malaysia.

Jika kita betul bersungguh-sungguh ingin melaksanakan perpaduan di Malaysia, persoalannya mengapakah Bahasa Melayu perlu diusik dan ditukar-tukar namanya? Istilah Bahasa Melayu sudah cukup meluas penggunaannya bermula dari  peringkat rendah hingga peringkat tertinggi. Jika ingin mengukuhkan perpaduan  di Malaysia, adalah lebih molek jika kita menggunakan  elemen lain tanpa mengganggu gugat Bahasa Melayu yang cukup terbudaya dalam masyarakat ketika ini.

Pelaksanaan sekolah wawasan, pembinaan bangsa Malaysia, serta slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak antara program yang berteraskan perpaduan yang perlu diperkukuhkan peranan serta fungsinya, tanpa Bahasa Melayu perlu diusik atau diganggu gugat istilahnya daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia dan seumpamanya dengannya.

Menurut Profesor Teo kok Seong, dalam bahasa diyakini Bahasa Melayu turut terkandung dan terangkum artifak, institusi dan organisasi, sikap, falsafah, pemikiran dan emosi, budaya,  sejarah, sistem kepercayaan dan nilai bangsa Melayu yang terhimpun sejak turun menurun lamanya. Malah,  menurut pendapat Profesor Nor Hisham Osman, pensyarah linguistik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Malaysia sewajarnya menggunakan pendekatan negara-negara lain seperti Australia, England, Kanada dan New Zealand  yang menggunakan istilah standard iaitu Bahasa Inggeris dan bukannya menggunakan istilah negara-negara berkenaan untuk merujuk kepada Bahasa Inggeris.

Jika kita lihat dari sudut sejarah perkembangan Bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa Melayu bukan hanya setakat dituturkan di sekitar wilayah politik Malaysia sahaja malah turut dituturkan oleh sebilangan besar masyarakat lingkungan rantau kepulauan Melayu yang merangkumi, Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand. Penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia bukanlah satu penyelesaian yang holistik dalam mengukuhkan perpaduan di Malaysia. Istilah Bahasa Malaysia diwujudkan pada hakikatnya bagi membolehkan ia tidak melambangkan mana-mana suku kaum di Malaysia, namun kita perlu berpijak di bumi yang nyata dan realitinya hasrat tersebut tidak akan tercapai walaupun bangsa Melayu sanggup menggugurkan nama bangsanya  pada istilah Bahasa Melayu.

Menurut Kamal Abdullah Sani, semua warga Malaysia tidak seharusnya curiga pada penggunaan istilah Bahasa Melayu. Hal ini kerana rasa curiga  itu mungkin menimbulkan pelbagai  kesan yang negatif. Malah, kita sebagai warga negara Malaysia yang mengaku warga setia di bumi tercinta ini perlu merasa bangga dengan bahasa kebangsaan kita walaupun kita berlainan kaum, suku, mahupun  keturunan.  Abang Patdeli Abang Muhi melalui makalahnya “Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia”, Pelita Bahasa 1995 telah melontar beberapa persoalan tentang kewajaran penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia. Adakah dengan penukaran istilah Bahasa Melayu kepada Bahasa Malaysia menjadikan masyarakat lebih prihatin terhadap Bahasa Melayu dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bahasa teknologi yang terpenting di negara ini? Untuk membincangkan Bahasa Melayu dari segi keupayaan sebagai bahasa ilmu, ia memerlukan satu perbincangan yang cukup panjang dan melibat pelbagai aspek. Hal ini kerana pada hari ini secara dasarnya Bahasa Melayu menerima hambatan yang begitu hebat daripada pelbagai sudut terutama dari sudut cabaran Bahasa Inggeris dan dunia globalisasi tanpa sempadan.

Mungkin dalam benak fikiran kita timbul satu persoalan, mengapa Indonesia menggunakan istilah bahasa Indonesia sedangkan rakyat Indonesia juga turut  bertutur  di dalam Bahasa Melayu serupa dengan rakyat Malaysia? Menurut Profesor Teo, kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia berbeza daripada Indonesia. Hal ini kerana bahasa rasmi negara jiran tersebut diangkat daripada kumpulan minoriti berbanding suku Jawa yang mendominasi wilayah Indonesia dan tidak timbul soal bantahan kerana ia suatu penghormatan besar kepada empunya bahasa tersebut. Dr Nor Hisham menambah, bahawa bahasa mewakili bangsa, dan situasi Bahasa Malaysia di negara ini berbeza daripada Indonesia yang mengangkat bahasa berdasarkan nama negara itu kerana sudah terbukti mereka sudah berjaya mengwujudkan bangsa Indonesia. Bahasa Indonesia tambah beliau lagi tidak sama dengan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu di Indonesia difahami sebagai bahasa yang diucapkan di Riau, satu wilayah di negara jiran itu. Manakala, di Malaysia bahasa Melayu merujuk kepada bahasa bangsa Melayu.

Oleh hal yang demikian, sudah  sampai masanya kita warga Malaysia yang tidak kira ras mahupun keturunan perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan tanpa menukarkan namanya. Oleh itu, kita jangan lagi ragu-ragu untuk menyatakan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan kita. Hal ini disebabkan Bahasa Melayu telah termaktub dalam perlembagaan dan telah diterima oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa rasmi negara kita.

PERINGATAN: Komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur perkauman.